May 20, 2026 - FASSelangor FC akan menerima kunjungan Buriram United FC di Stadium MBPJ, Kelana Jaya bagi perlawanan Akhir ACC Shopee Cup™ 2025/26 yang dijadualkan pada jam 9 malam.
Pasukan berjaya layak ke perlawanan Akhir selepas menewaskan Nam Dinh FC dengan keputusan 4-1 secara agregat; Separuh Akhir pertama: 2-1 dan Separuh Akhir kedua 2-0. Baca reviu penuh Separuh Akhir kedua di sini.
Menurut Kim Pan-gon, Ketua Jurulatih Selangor FC, pasukan sudah bersedia sepenuhnya untuk perlawanan akhir pertama ini dan berharap dapat berikan persembahan yang membanggakan para penyokong Gergasi Merah.
“Kami bangga mewakili Selangor dan Malaysia dalam kejohanan ini, dan ini satu perkembangan baik untuk pasukan. Emosi dan persiapan pasukan berada pada tahap yang baik dan hari ini kami berasa bersedia untuk berikan persembahan terbaik. Tiada kecederaan serius setakat ini dan kami yakin dengan kondisi pasukan untuk perlawanan malam ini. Bermain di laman sendiri sentiasa menjadi kelebihan buat pasukan dan dengan sokongan penyokong setia Gergasi Merah, kita dapat mencipta suasana yang bertenaga dan memberikan persembahan yang membanggakan untuk mereka,” jelas beliau berkenaan keadaan pasukan
“Pada masa yang sama, kami sangat menghormati Buriram United FC sebagai pasukan yang sangat kuat, baik dari segi individu mahupun secara pasukan. Kita akui kualiti pemain utama mereka, tetapi fokus kami tetap pada kerja berpasukan dan potensi pasukan sendiri. Kita telah membuat persiapan dengan teliti dan berlatih mengikut rancangan sepenuhnya. Matlamat kami jelas iaitu untuk berikan saingan yang tinggi dan berikan persembahan terbaik untuk para penyokong,” tambahnya lagi
Pihak pengurusan Selangor FC mendoakan kejayaan pasukan. Ayuh, Gergasi Merah!
Demi Kebanggaan!